UBAT GENERIK DAN INNOVATOR : ANTARA MITOS DAN FAKTA

Assalamualaikum semua.. ha. Ni saya nak cerita sikit tentang ubat.. semua kalau sakit mesti cari ubat kan? Tak pun pergi klinik nak jumpa doctor untuk dapatkan ubat. Ubat ni merupakan bahan kimia yang digunakan dalam rawatan, pencegahan dan diagnosis penyakit. Pada kebiasaannya ubat boleh didapati daripada klinik, kedai farmasi dan pasaraya. Kalau ubat digunakan seperti yang diarahkan, ini sudah tentu dapat merawat atau mengawal penyakit anda.

Sebelum anda makan ubat, kena pastikan ubat tu untuk apa. Jangan main makan je sebab ubat mungkin mempunyai warna dan bentuk yang sama tetapi kegunaan dan indikasi yang berbeza.

Tahukah anda bahawa terdapat dua jenis ubat iaitu ubat innovator dan ubat generik? Apa pulak beza dua jenis ubat ni? Ubat tiruan ke? Jom teruskan membaca artikel saya sampai habis kalau nak tau apa beza antara dua jenis ubat ni…

Ubat Innovator ni kalau semua nak tahu ia adalah ubat berjenama asal yang mula diperkenalkan dalam pasaran dan dipatenkanolh syarikat yang menemui ubat baru tersebut setelah menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan. Ha.. mesti semua tertanya-tanya kenapa la syarikat tu nak patenkan ubat dia? Perlu ke? Ha.. syarikat tu patenkan supaya syarikat lain tidak boleh memasarkan ubat yang sama sehinggalah tempoh paten tersebut tamat. Kira hak eksklusif depa punya la.. orang lain takleh copy paste..

Ubat generik pulak kalau semua nak tahu ia adalah ubat yang mempunyai bahan aktif yang sama seperti ubat innovator dan dipasarkan setelah paten atau lesen atau hak cipta ubat innovator tersebut tamat. Maksudnya, kesan ubat generik ni sama je macam innovator. Selain itu, dos , cara pengambilan dan tindakan ubat , kesan terapeutik dan kesan sampingan juga adalah sama seperti ubat innovator. Walaupun semuanya sama, ada lagi yang berasa was-was atau takut-takut nak guna ubat generik ni.. ha ini namanya mitos..

MITOS 1 :

Ubat innovator lebih berkualiti, selamat dan berkesan daripada ubat generik

FAKTA:
Semua ubat termasuk ubat generik perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan sebelum didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia. Ini adalah bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat ke atas pesakit. Ujian kesetaraan-bio (bioequivalence study) dijalankan ke atas ubat generik sejak tahun 1999 lagi sebagai salah satu syarat pendaftaran ubat generik. Ini bagi memastikan kesan teraputiknya adalah sama dengan ubat innovator. Oleh itu, ubat generik yang didaftar dengan PBKD adalah sama berkualiti, selamat dan berkesan dengan ubat innovator.

MITOS 2:

Ubat generik mengambil masa lebih lama untuk bertindak dalam tubuh badan.

FAKTA:
Serupa tapi tak sama dek non oi.. tapi takleh la kata ubat generik ni tak power… Mungkin ubat generik ni nampak berbeza sedikit berbanding ubat innovator disebabkan oleh bahan-bahan yang tidak aktif seperti pewarna dan perasa, namun ianya perlu mempunyai jumlah bahan aktif, kadar penyerapan dalam badan dan tahap kandungan dalam darah mengikut tempoh masa yang sama seperti ubat innovator. Jadi para pengguna tidak perlu bimbang kerana bahan-bahan tidak aktif ini tidak memberi kesan kepada keselamatan, keberkesanan dan prestasi ubat generik. Oleh yang demikian, masa tindakan ubat generik adalah sama dengan ubat innovator.

MITOS 3:

Ubat generik lebih murah daripada ubat innovator kerana dikilangkan di fasiliti yang mempunyai kualiti yang kurang memenuhi piawaian.

FAKTA:
Ini mesti ramai yang kata.. ala ubat murah ni mesti low class dan tak berkuliti.dah tu kalau makan, lambat berkesan, walhal kome sume tau ke kenapa ubat generik ni jauh lebih murah berbanding ubat innovator? Ramai berpendapat bahawa kualiti dan keberkesanan ubat generik ini telah dikompromi bagi mengurangkan kos pembuatannya. Sebenarnya, pembuatan ubat generik tidak memerlukan kos penyelidikan dan pembangunan peringkat awal, kos pemasaran dan kos promosi seperti ubat innovator. Selain itu, sekiranya terdapat banyak syarikat yang mengeluarkan dan menjual ubat generik yang sama, persaingan antara mereka juga boleh menyumbang kepada harga yang lebih kompetitif dan murah. Ha, macam biasalah.. kalau banyak saingan, permintaan tinggi, mestilah kena jual murah-murah je..

Pemeriksaan berkala dan penilaian dilakukan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bagi memastikan semua pengilang ubat mematuhi Amalan Pengilangan Baik (APB) dan mematuhi piawai yang ditetapkan. Amalan Pengilangan Baik merupakan kriteria utama dalam pengilangan ubat-ubat generik. Kalau tak periksa, takut la ada yang tak ikut pulak standard operating prosedur (SOP), nanti jadi masalah lain pulak kan..

MITOS 4:

Ubat generik dan ubat innovator kelihatan berbeza kerana kandungannya berbeza.

FAKTA:
Syarikat pengeluar ubat generik berhak menentukan bentuk, warna dan rasa ubat-ubat generik dan ianya tidak semestinya sama dengan ubat innovator. Takkan nak tiru orang lain pulak kan? Produk sendiri, jenama sendiri biarlah ada identity sendiri. Chewahhh.. dah macam keluar produk kecantikan ke fesyen pulak kan? Hehehehe… Meskipun terdapat perbezaan, ini tidak mempengaruhi keberkesanan ubat tersebut kerana kandungan bahan aktifnya tetap sama. Buat semua pengguna , kenalilah ubat anda dengan nama bahan aktif dan kekuatannya dan bukan melalui warna, bentuk dan rasa. Ha, kalau korang pun, nak orang kenal korang dengan nama kan? Takde lagi manusia yang suka orang panggil dia si gemuk gedempol tak pun, si kurus kering.. Ha sama lah kes dengan ubat-ubatan ni.. Kalau korang tau nama ubat ni, mudahla sikit doktor dan ahli farmasi mengenalpasti sekiranya anda ada alahan terhadap ubat-ubatan yang anda ambil contohnya seperti ubat antibiotik dan ubat penahan sakit (pain killer)

Ha dah panjang lebar saya bercerita tentang ubat innovator dan ubat generik. Harapnya dapat memberi pemahaman antara beza kedua-dua jenis ubat ini kepada semua pembaca. Sebagai kesimpulannya, terdapat permintaan yang besar ke atas ubat-ubat generik kerana harga ubat innovator yang lebih mahal. Seterusnya, ini sudah tentu akan dapat meningkatkan kesedaran doktor dan pesakit memilih untuk menggunakan ubat-ubat generik yang lebih murah tetapi setanding ubat innovator yang lebih mahal. Ketersediaan ubat-ubat generik yang standing dengan ubat innovator sudah tentulah dapat mengurangkan beban kos penjagaan kesihatan di hospital dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit tanpa dibebani kos pengubatan yang tinggi.

“ KNOW YOUR MEDICINES, KNOW YOUR PHARMACIST”

Coretan Oleh Penulis Jemputan : Riza Ariza 

Facebook : https://www.facebook.com/nurariza

puanbee

Penafian : Ini adalah blog peribadi . Selain di nyatakan sumber image dan video adalah hak milik penulis. Penulis tidak akan bertanggngjawap jika terdapat kerosakan / kesan sampingan jika menggunakan info di dalam blog ini. Anda perlu berjumpa dengan pakar bertauliah terlebih dahulu. Admin juga tidak akan bertanggungjawap jika kesan pemakaian / penggunaan anda tidak sama seperti perkongsian review/pengalaman admin sendiri. Admin juga tidak akan bertanggungjawa atas semua komentar yang di tinggalkan di blog ini. Pembaca / komentar harus bertanggungjawap ke atas perbuatan atau penerimaan di atas pembacaan di blog ini.

Admin megucapkan ribuan terima kasih kerana singgah meluangkan masa membaca di sini. Semoga sihat dan ceria selalu :)

4 Comments:

  1. Baru tahu beza ubat generik dan ubat innovator
    .
    Innovator ni kira perintis ubat baru. Macam ubat panadol kan
    .
    Masa dulu mana ada brand paracetamol lain
    .
    Lepas dah lama, paten dah habis tempoh baru syarikat lain boleh pakai

  2. bagus info ni baru tahu ada macam2 jenis ubat juga

  3. Pengambilan ngan ubat generik yg lbh bukan satu idea yg baik. Ia bukan saja habiskan wang, jugak blh memburukkan kesihatan badan kita.

  4. Bagus ilmu ni.. baru saya tau, ubat pun ada mcm2 ketegori.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *