Penjelasan SYABAS berkenaan isu tak ada air di kawasan Wilayah Kuala Lumpur , Selangor dan Gombak

Guna lah air secara berhemah .. huuu baru nampak press realese bertarikh 2/1/2013 di bawah , tetapi walaubagaimana pun , kawasan tempat tinggal mengalami masaalah tiada bekalan air sejak sabtu 29 disember 2012. Saya telah menumpang mandi di rumah kakak saya selama beberapa hari. Semalam jam 6.40 am ada air sekejap ..sempat la mandi , basuh kain baju sekejap lepas tu dah tiada air sehingga hari ini.

Apa nak buat dugaan ..

Tetapi agak kesian pada anak-anak mandi lap-lap jek satu badan dan terus pergi ke sekolah , cadang nak mandi kan diorang di sekolah , sekolah pun ketiadaan air , bawa pula anak-anak ke rumah kakak .. tahu-tahu di rumah kakak saya pun dah terputus bekalan air. SABAR JE LA !

Anak no 3 dah mula nak demam. Saya hairan .. kenapa tak ada lori air hantar air ke kawasan tempat tinggal saya ? Kaum mak-mak dan anak-anak lah yang paling terkesan kalau tak ada air . Kain baju tak basuh takpe lagi , tak masak selama beberapa hari , air untuk minum di beli tak pe lagi . .. tapi tak mandi ? hurmm .. fikir sendiri la …

Jika ada lori air sampai tak mengapa lah boleh juga angkut air , tak kisah lah duduk tingkat 4 tak ada lif sekali pun. Saya hubungi SYABAS dan sms Puspel untuk minta penjelasan, saya dan penduduk disini perlukan air , kerana air simpanan kami disini pun telah habis di gunakan. 5 hari tau .. lama tu … Tetapi tiada tindakan susulan dari SYABAS dan Puspel.

Tadi dah terdesak bawa anak mandi di tandas pasaraya berdekatan , tak pepasal di pandang serong oleh “cleaner” yang bekerja di situ .. kemain laju dia “meyampaikan” sampai kecoh satu pasaraya. Agak-agak la kalau darurat macam mana ek orang-orang di Malaysia ni ? semua manusia nak pentingkan diri jek.

Tak baik merungut kan .. tapi apa nak buat .. macam darurat jek .. kenapa lah kerajaan tidak umumkan agar cuti sekolah di lanjutkan , boleh lah bawa anak-anak balik kampung atau tinggal di kawasan yang ada air buat sementara waktu. Saya nak pergi rumah adik di kajang , rumahnya ada air tetapi risau pula pelajaran anak-anak tertinggal ni.

Sekarang ni program pembelajaran dan pelajaran di mulakan seawal hari pertama persekolahan. Kata pengetua sekolah anak saya yang berumur 9 tahun dan PRA sekolah tu la .. sayang pula awal-awal lagi nak “ponteng” kan mereka dari sekolah.

Alahai … Saya berharap pihak SYABAS dapat menyiapkan kerja-kerja pemulihan secepat mungkin. Amin …

-Tamat-

” Bebelan biasa , bukan berunsurkan politik , di larang putar belitkan kenyataan saya “

PRESS RELEASE SYABAS – LINK

GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK BERJADUAL DI WILAYAH KUALA LUMPUR DAN GOMBAK BERTERUSAN AKIBAT KEGAGALAN KALI KEDUA SISTEM RUMAH PAM DI WANGSA MAJU DAN KEROSAKAN RUMAH PAM PUDU HULU BARU

2 JANUARI 2013

Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memberi penjelasan kepada para pengguna berikutan gangguan bekalan air yang dihadapi oleh sejumlah 89,760 akaun sejak 29 Disember 2012 lalu dan bilangan akaun tersebut telah meningkat kepada 107,760 sejak 1 Januari 2013.

Pihak SYABAS telah memaklumkan kepada para pengguna dari semasa ke semasa termasuk memberi taklimat dan penerangan secara terus serta menerusi pihak media massa berkaitan masalah tersebut.

Gangguan bekalan air ini berlaku disebabkan oleh dua (2) kejadian. Kejadian yang pertama melibatkan Rumah Pam Wangsa Maju manakala kejadian kedua melibatkan Rumah Pam Pudu Hulu Baru. Kedua-dua kejadian ini berlaku secara berturut-turut.

Sebagai makluman, Rumah pam Wangsa Maju dengan kapasiti rekabentuk 136 JLH (Juta Liter Sehari) beroperasi semenjak era pengurusan Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (PUAS) pada tahun 2004. Rumah pam ini yang mengepam bekalan air ke kawasan bekalan seperti di LAMPIRAN 1 menerima sumber air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3 dan LRA Wangsa Maju.

Bagi menampung keperluan permintaan bekalan air yang meningkat sejak tahun 2004 di kawasan berkenaan, kadar pengepaman rumah pam ini ditingkat dari tahun demi tahun dan terpaksa beroperasi dalam keadaan ”overload” sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mencecah 200 JLH berbanding kapasiti asal rekabentuk sebanyak 136 JLH.

Oleh kerana rumah pam tersebut telah beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rumah pam tersebut kini sudah tidak berupaya untuk beroperasi dalam tahap yang sedemikian menyebabkan berlakunya masalah teknikal termasuk kegagalan untuk berfungsi sepertimana dikehendaki walaupun ianya telah disenggarakan secara berterusan dan mengikut jadual.

Rumah pam ini telah mengalami kegagalan sebelum ini tetapi ianya dapat ditangani tanpa melibatkan sebarang gangguan bekalan air kepada kawasan berkenaan. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini kegagalan rumah pam Wangsa Maju bertambah kerap menyebabkan kerosakan yang memerlukan masa untuk dibaiki dan mengakibatkan gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.

Kegagalan terkini yang pertama di Rumah Pam Wangsa Maju berlaku pada 29 Disember 2012 dan kerosakan yang dialami selesai dibaiki sepenuhnya pada jam 3.46 am pagi 30 Disember 2012.

Gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan kejadian ini telah dimaklumkan kepada pengguna melalui kenyataan akhbar bertarikh 29 Disember 2012 dan 1 Januari 2013.

Namun pada sekitar jam 3.15 petang, 1 Januari 2013, rumah pam ini telah mengalami kerosakan buat kali kedua walaupun gangguan bekalan air di kawasan berkenaan yang masih belum pulih. Bagi kerosakan kedua ini, pihak SYABAS sedang melakukan kerja-kerja pembaikan dan dijangka siap pada petang 2 Januari 2013 dan SYABAS akan mengemaskini situasi kerja pembaikan apabila siap kelak.

Memandangkan kawasan yang terlibat dengan gangguan kali ini adalah besar, bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat mulai esok dan pihak SYABAS menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh (7) hari.

Manakala bagi kejadian yang kedua melibatkan kegagalan di Rumah Pam Pudu Hulu Baru yang berlaku sekitar jam 1:30 petang 1 Januari 2013, ianya berlaku disebabkan kerosakan pada papan switch utama 11kV di rumah pam Pudu Hulu Baru selepas kerja-kerja penyenggaraan dilakukan oleh TNB di pencawang elektrik berdekatan dengan rumah pam tersebut. Kerosakan tersebut mungkin berkaitan dengan kerja-kerja TNB yang dijalankan sebelumnya. Bagaimanapun, perkara ini masih sedang disiasat.

Berikutan kedua-dua kejadian tersebut, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau yang telah diaktifkan pada jam 8.00 pagi, 29 Disember 2012 di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak telah di tukar kepada Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning bermula pada jam 6.00 petang 1 Januari 2013.

Pertukaran kod warna Pelan Tindakan Kecemasan ini bagi mempertingkatkan lagi usaha SYABAS dalam memantau keadaan ini secara berterusan dan mengurus kawasan-kawasan terlibat yang menghadapi masalah gangguan bekalan air bagi mengurangkan impak ke tahap yang paling minima disamping memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Pada masa ini, SYABAS telah menyediakan sebanyak empat puluh (40) buah lori tangki untuk membantu membekalkan air ke kawasan-kawasan yang terlibat dan pihak SYABAS juga sedang menggerakkan lori-lori tangki daripada pihak swasta sebagai tambahan kepada jumlah sedia ada. Manakala sejumlah seratus sepuluh (110) tangki statik telah ditempatkan di lokasi-lokasi yang strategik di sekitar kawasan yang terlibat. Pihak SYABAS juga akan meletakkan lebih banyak tangki statik yang ada bagi membolehkan para pengguna yang terlibat mendapat bekalan air untuk waktu sementara. Selain itu, SYABAS akan turut memohon daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi bantuan dari segi logistik khususnya dalam menyediakan lori-lori tangki untuk menghantar bekalan air.

**Baca lagi di link yang di sdiakan di atas ..

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

PRISCILLA ALFRED
Penolong Pengurus Besar,
Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam
Tel : 03-2088 5400 Fax : 03-2088 5288
HP : 019-395 3488 Email : priscilla@syabas.com.my

21 Comments

  1. Melastik Bintang 8 January 2013 Reply
  2. Ummi Hanie 5 January 2013 Reply
  3. syaifuddin alias 4 January 2013 Reply
  4. Ladfe Amir 4 January 2013 Reply
  5. titan 3 January 2013 Reply
    • Ladfe Amir 4 January 2013 Reply
  6. Hazmin Hamudin 3 January 2013 Reply
  7. hafizmd 3 January 2013 Reply
  8. JunAina 3 January 2013 Reply
    • puanbeeAuthor 3 January 2013 Reply
  9. dhanianblogspot 3 January 2013 Reply
  10. sohoque 3 January 2013 Reply
  11. papa mifz 3 January 2013 Reply
  12. Denaihati 2 January 2013 Reply
  13. sicantikmatahari 2 January 2013 Reply
  14. Puan Kutu 2 January 2013 Reply
  15. diana 2 January 2013 Reply
  16. akubiomed 2 January 2013 Reply
  17. Cikgu Hairul 2 January 2013 Reply

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.