Disebalik Pada Zaman Dahulu (taruhan terbaru LCPSB)

Spread the love

SELEPAS kejayaan siri kartun Upin & Ipin yang mendapat sambutan hangat di televisyen (TV) Malaysia dan Indonesia, penerbit animasi itu, Les’ Copaques Sdn. Bhd., (LCPSB) bakal tampil dengan satu lagi siri kartun berjudul Pada Zaman Dahulu. Menurut Pengarah Urusan LCPSB, Burhanuddin Md. Radzi, Pada Zaman Dahulu yang kini sedang dalam pembikinan menjadi rebutan banyak stesen TV ekoran kejayaannya menjadikan Upin & Ipin suatu fenomena dalam siri animasi di rantau ini sejak tiga tahun lalu. Wallpaper Watak Pada Zaman Dahulu Animasi Baru Les’ Copaque

“Setakat ini, saya sudahpun memberikan hak tayangan siri Pada Zaman Dahulu kepada stesen TV AlHijrah di mana ia akan ditayangkan mulai 27 November ini. Sebagai permulaan kami akan menerbitkan 12 episod di mana setiap episod durasinya tujuh minit.

“Sementara itu, selepas enam bulan siarannya di TV AlHijrah, Pada Zaman Dahulu akan ditayangkan pula di saluran Astro Ceria. Animasi ini dalam bahasa Melayu dan menggunakan sepenuhnya suara latar pelakon baru,” katanya kepada Hits, baru-baru ini.

Pada pertemuan di pejabat LCPSB itu, Burhanuddin berkata, Pada Zaman Dahulu yang menampilkan tiga watak utama iaitu Aki, Ara dan Aris, yakin siri kartun berdasarkan cerita-cerita penglipurlara itu mampu menarik perhatian para penonton. Ini kerana katanya, selain tiga watak itu, siri kartun arahan Mohd. Shafiq Mohd.

Isa ini turut menampilkan watak-watak binatang seperti buaya, kancil, kerbau dan monyet yang popular dalam cerita-cerita penglipurlara terutamanya golongan kanak-kanak.

“Kami menggunakan watak Aki dan dua cucunya itu bagi menceritakan kisah-kisah binatang yang popular dalam cerita-cerita penglipurlara.Tetapi pada masa sama kami gunakan pendekatan sendiri dan menceritakannya dalam nafas baru yang penuh dengan nilai pengajaran.

“Semua peminjam suara latar Pada Zaman Dahulu adalah muka-muka baru dalam penerbitan ini.Banyak kelainan dalam produk terbaru kami ini antaranya, ia pertama kali dihasilkan dalam bentuk HD (definisi tinggi) bagi meningkatkan lagi kualiti penerbitan,” ujarnya.

Jelas Burhanuddin, penerbitan Pada Zaman Dahulu dilakukan bukan sahaja bagi menambahkan lagi produk terbitan LCPSB, malah ia juga memberi pilihan yang lebih banyak kepada para penonton TV terutamanya golongan kanak-kanak.

Katanya, sebagai sebuah syarikat produksi yang semakin berkembang LCPSB tidak boleh bergantung kepada siri kartun Upin & Ipin sahaja sebaliknya, pada masa akan datang dia akan mempelbagaikan lagi produk terbitannya termasuklah dalam bidang perfileman.

“LCPSB mempunyai 140 pekerja yang bukan sahaja terbabit dalam penerbitan animasi tetapi mereka juga berbakat dalam meminjamkan suara dalam animasi-animasi yang kami terbitkan. Sebab itu, selepas ini kami merancang menerbitkan lebih banyak produk. “Antaranya menerbitkan satu lagi filem berjudul Laksamana Upin & Ipin The Movie selepas Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan dua tahun lalu. Selain itu, Teater Muzikal Upin & Ipin akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada April tahun depan,” ujarnya.

Sementara itu pengarah Pada Zaman Dahulu, Mohd. Shafiq Mohd. Isa, berkata, dia tidak menafikan jalan cerita kisah-kisah binatang yang dipaparkan dalam siri kartun itu umumnya sudah diketahui ramai kerana ia telah diceritakan secara turun temurun. Namun, sebagai pembikin siri animasi baru, dia tetap akan mempelbagaikan cerita-cerita yang terkandung dalam Pada Zaman Dahulu dengan idea-idea baru yang sarat dengan mesej untuk diserapkan kepada penonton terutamanya golongan kanak-kanak.

“Kami hanya mengambil secara kasar latar cerita daripada kisah-kisah penglipurlara tetapi daripada segi olahan dan penceritaan semula, sedikit sebanyak menokok tambah. Contohnya, daripada segi dialog dan mesej yang berkaitan dengan sesebuah cerita,” jelasnya.

Sumber : Utusan

4 thoughts on “Disebalik Pada Zaman Dahulu (taruhan terbaru LCPSB)”

  1. Pingback: Pada Zaman Dahulu 27 November Tv Al-Hijrah | Puanbee.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *